Gempa di Sabah: Majlis Raja-Raja rakam dukacita

 
KUALA LUMPUR: Majlis Raja-Raja hari ini merakamkan perasaan dukacita berikutan kejadian gempa bumi yang berlaku di Ranau dan Gunung Kinabalu, Sabah baru-baru ini.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad berkata Majlis Raja-Raja yang bersidang bersempena Mesyuarat Ke-238 itu menzahirkan rasa simpati kepada keluarga yang ditimpa malang serta mendoakan agar mereka bersabar menghadapi bencana yang tidak disangka itu.

"Majlis menyedari bahawa meskipun malang dan musibah tidak berbau, namun peristiwa gempa bumi itu adalah yang pertama dialami di daratan Malaysia pada kadar getaran yang besar iaitu hampir 6 darjah pada skala Richter.

"Tragedi itu telah mengakibatkan kehilangan nyawa, kecederaan dan kerosakan harta benda kepada rakyat Malaysia serta pelancong dari luar negara," katanya dalam kenyataan di sini.

Kejadian gempa bumi pada 7.15 pagi Jumaat lepas berukuran 5.9 pada skala Richter itu merupakan gempa terkuat yang pernah dialami Malaysia setakat ini.

Sehingga semalam, mangsa gempa bumi yang ditemui adalah 18 orang dan daripada jumlah itu - Singapura (10), Malaysia (enam), Jepun (satu) dan China (satu).

Syed Danial berkata Majlis Raja-Raja amat menghargai serta mengiktiraf sahutan badan awam, swasta dan orang ramai yang membuktikan rakyat negara ini bersatu hati ketika dilanda bencana dengan menyumbang bakti murni bagi mengurangkan penderitaan tanpa mengira kewarganegaraan, keturunan, agama dan budaya.

"Semoga semangat dan sikap positif itu terus dipupuk, dijana dan dikembangkan untuk menjadi amalan dan budaya kita pada sebilang masa dan peristiwa.

Langkah-langkah bagi bersiap sedia untuk menangani kejadian seumpama itu pada ketika akan datang, jika perlu, wajar diolah dan dilembagakan sebagai prosedur yang baku (SOP) dengan berkesan," katanya.

Dalam pada itu, Syed Danial mengajak semua umat Islam berdoa agar Malaysia dilindungi daripada malapetaka di masa akan datang dan perlu sedar setiap bencana yang datang merupakan kuasa Tuhan yang tiada batasan.

Mengenai Mesyuarat Ke-238 Majlis Raja-Raja yang berakhir hari ini, Syed Danial berkata Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah hari ini berkenan berangkat menghadiri mesyuarat yang dipengerusikan Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah di Istana Negara, Jalan Duta.

Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Mesyuarat yang bermula semalam itu dihadiri semua raja Melayu kecuali Terengganu yang diwakili Tengku Sri Temenggong Raja Tengku Baharuddin Ibni Almarhum Sultan Mahmud manakala Johor diwakili Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Sultan Ibrahim. Syed Danial memaklumkan bahawa majlis itu telah disembahkan taklimat terkini mengenai pertahanan negara oleh Panglima Angkatan Tentera Malaysia Tan Sri Zulkifeli Mohd Zain. Taklimat mengenai keselamatan pula disembahkan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim.

Menurut Syed Danial lagi, perkara lain yang turut dibincangkan ialah mengenai Agama Islam, pelantikan pengerusi dan Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, pelantikan semula serta pelantikan baharu Ahli Dilantik Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia.
 

Ulasan

Catatan Popular